Bekas penjaga gol Manchester United, David De Gea semakin hampir untuk beraksi dalam saingan Saudi Pro League sekaligus mengikut jejak langkah pemain bintang lain yang terlebih dahulu berhijrah ke negara itu.

Meskipun memenangi anugerah Golden Glove musim lalu, De Gea lebih memilih untuk meninggalkan United dan kelab itu kemudiannya mendapatkan Andre Onana yang mana sesuai dengan kemahuan Erik ten Hag dimana beliau mahu penjaga gawang yang mahir mengawal bola.

Bayern Munich dan Real Madrid antara kelab yang berminat dengan De Gea namun kedua-dua pasukan kemudiannya membatalkan niat untuk mendapatkan penjaga gol berusia 32 tahun itu dimana Bayern memberikan peluang kepada Sven Ulreich bagi menjadi penjaga gawang utama manakala Real Madrid menandatangani Kepa Arrizabalaga secara pinjaman dari Chelsea.

Meskipun bergelar ejen bebas, De Gea masih lagi mencari kelab yang boleh membayar gaji tinggi kepadanya dan ini menjadikan Saudi Pro League sebagai satu-satunya destinasi yang sesuai bagi pemain itu.

Menurut laporan Daily Record, David De Gea mahu mendapatkan gaji sekitar £8.7 Juta setahun selepas cukai dan perkara ini membuatkan beberapa kelab di Eropah enggan untuk mendapatkan penjaga gol itu.

Antara penjaga gawang berprofil tinggi yang sudahpun berhijran ke Arab Saudi ialah Édouard Mendy yang menyertai Al-Ahli dan Yassine Bounou yang menyertai Al-Hilal.

Mendy sebelum ini pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Chelsea manakala Bounou membantu Maghribi menduduki tangga keempat dalam temasya Piala Dunia 2022 di Qatar.